KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi negara Asia pertama menganjurkan Persidangan AIDS Antarabangsa (IAS) yang dijadual pada Julai 2013.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata persidangan itu juga merupakan acara berskala besar pertama dilaksana di bawah Program Transformasi Ekonomi.
Seramai 6,000 peserta dari 125 negara dijangka hadir pada persidangan empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, katanya dalam satu kenyataan, di sini Isnin.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 90 peratus datang dari luar negara yang dijangka menjana RM78 juta kepada ekonomi negara.
Persidangan yang diadakan dua tahun sekali secara bergilir pada kalangan negara maju dan sedang membangun itu bermula pada 2001.
Antara lain IAS 2013 bertujuan melihat perkembangan terkini mengenai penyelidikan berkaitan HIV serta meneroka bagaimana perkembangan sains dapat digunakan secara efektif dalam mengawal serta merawat penyakit itu.
SUMBER:http://mynewshub.my/bm/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan