Memaparkan catatan dengan label SUKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUKAN. Papar semua catatan

Khamis, 14 Julai 2011

Arsenal 4 Malaysia 0-Kalah Lagi




Tomas Rosicky menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat untuk gol keempat Arsenal pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.



KUALA LUMPUR - Belum terlambat buat Harimau Malaya mencari kesilapan setelah dibelasah 0-4 oleh kelab gergasi Liga Perdana England, Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Memang benar kekalahan yang dialami oleh pasukan negara bukan satu perkara yang mengejutkan, namun apa lebih mustahak, perlawanan 90 minit yang dilalui skuad negara berdepan pemain-pemain berkelas dunia ternyata menjadi bekalan berguna bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.
Corak permainan pantas dan hantaran tepat, dua elemen penting yang boleh dipelajari oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal daripada Arsenal.
Apa pun, barisan Malaysia wajar dipuji kerana mampu memberikan saingan ke atas skuad bimbingan Arsene Wenger dalam perlawanan menghiburkan yang disaksikan kira-kira 50,000 penonton.
Cuma apa yang sedikit merisaukan ialah kecederaan yang dialami oleh tonggak pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan yang mungkin terlepas peluang berdepan Singapura selepas dikasari Marouane Chamakh pada minit ke-42 sehingga digantikan dengan Mohd. Muslim Ahmad.
Arsenal semalam berpesta gol menerusi Aaron Ramsey daripada sepakan penalti seawal minit kelima sebelum pemain antarabangsa England, Theo Walcott menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36.
Arsenal menambah dua lagi jaringan pada minit ke-57 menerusi Carlos Vela daripada gerakan cantik dan Tomas Rosicky mencipta jaringan keempat pada minit ke-90 bagi menutup kemenangan bergaya kelab dari London itu.
Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal Arsenal, Harimau Malaya secara keseluruhannya bermain baik pada babak pertama.
Aksi serba pantas pemain sayap kiri negara, S. Kunanlan banyak mendapat sorakan daripada peminat setia negara selepas acap kali melepasi kawalan bek kanan Arsenal, Carl Jenkinson sementara Ahmad Fakri Saarani dan Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi gandingan pilihan Rajagobal pula berjaya mempamerkan rentak agresif.
Namun, salah faham Mohd. Nasril Nourdin dan pertahanan membuka ruang kepada Walcott yang berlari pantas menanduk bola ke dalam gawang yang ternganga bagi mengukuhkan kedudukan 2-0.
Arsenal yang tidak menurunkan beberapa pemain utama jelas mempamerkan rentak hambar pada 45 minit perlawanan tetapi segalanya berubah apabila membawa masuk bintang-bintang mereka antaranya Andrei Arshavin, Robin Van Persie, Samir Nasri, Carlos Vela dan Bacary Sagna.
Peminat Arsenal bersorak gembira apabila bintang kesayangan mereka, Van Persie melangkah masuk ke padang pada minit ke-65 dan kehadiran pemain antarabangsa Belanda itu banyak memberikan masalah kepada pertahanan negara dengan aksi serba memukau di samping kehadiran Nasri dan Arshavin.
Bermula detik itu, pertahanan negara beraksi dalam keadaan kelam kabut ketika Arsenal memperagakan aksi bermutu tinggi.
Malaysia akan menentang Liverpool pada Sabtu ini.

Isnin, 4 Julai 2011

Syabas! Kita ke pusingan kedua

K. Rajagobal mendakap Aidil Zafuan Abd. Razak yang berjaya menjaringkan gol pertama skuad negara pada pertemuan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Taipei, malam tadi. Malaysia tewas 2-3 tetapi terikat 4-4 secara agregat yang melayakkan Harimau Malaya ke pusingan kedua berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.


KUALA LUMPUR - Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan sekalipun tewas 2-3 kepada Taiwan, semalam.
Dengan agregat yang terikat 4-4, dua gol yang dijaringkan di Stadium Perbandaran Taipei sudah cukup untuk meletakkan skuad Harimau Malaya menempah pertemuan seterusnya dengan Singapura pada 23 Julai ini.
Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal bakal menentang pasukan jiran di Singapura dalam aksi awal manakala perlawanan kedua dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Julai ini.
Perlawanan semalam, menyaksikan skuad senior kebangsaan tumpas buat pertama kali sejak menjuarai Piala Suzuki AFF pada tahun lalu.
Kekalahan itu wajar dijadikan satu pengajaran berguna buat barisan pemain Malaysia memandangkan lawan yang bakal mereka tentang selepas ini bukan calang-calang pasukan.
Ketika ditemu-ramah oleh Astro Arena, Rajagobal berkata, walaupun skuad kebangsaan berjaya ke pusingan kedua, namun, beliau masih tetap tidak berpuas terhadap persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya.
"Memang kita layak tetapi saya tidak berapa puas hati dengan persembahan mereka. Namun, bukan secara keseluruhan kerana ada masanya pemain kita bermain baik.
"Saya dapat lihat mereka mampu serang dengan baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki" katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal pula memberitahu, kekurangan yang masih dimiliki oleh para pemain Malaysia ialah fizikal mereka.
"Fizikal juga amat penting kerana selain mental dan taktikal kita memerlukan kekuatan fizikal. Sebab itu, saya berasakan pendedahan bermain dengan pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Bahrain dan Jordan diperlukan oleh skuad Malaysia," ujarnya.
Apa yang penting selepas ini, Rajagobal perlu segera mencari 'tonik' baru bagi memastikan pemain-pemain bimbingannya bersedia menghadapi cabaran Singapura.
Pertemuan kedua-dua negara jiran itu yang disifatkan sebagai pertembungan dua musuh tradisi sudah pasti menghidangkan satu perlawanan menarik yang menyaksikan kekuatan seimbang 50-50.
Singapura yang mendapat sentuhan jurulatih Serbia, Radojko Avramovic turut diperkuatkan dengan barisan 'awang import' yang diberi status kewarganegaraan.
Antara pemain tersebut ialah Goncalves dari Brazil, pemain kelahiran Croatia, Mirko Grabovac, Itimi Dickson dari Nigeria dan pemain Yugoslavia, Aleksandar Duric.
Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Singapura pada 29 November 2008 di Stadium MPPJ, Kelana Jaya menerusi perlawanan persahabatan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan mendapat sepakan percuma apabila kapten, Safiq Rahim dijatuhkan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd. Razak tidak mensia-sia peluang meledakkan gol sulung hasil jaringan cantik pada minit ke-7 menewaskan penjaga gol Taiwan, Lee Po Cheng.
Gol penyamaan diperoleh tuan rumah menerusi Chang Han yang mengambil kesempatan kekalutan yang berlaku di depan pintu gol skuad negara untuk menolak masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-30.
Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat para pemain kebangsaan apabila Malaysia sekali lagi berjaya membolos gawang tuan rumah menerusi Safiq yang menggegarkan pintu gol Taiwan untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.
Taiwan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, meraih gol penyamaan pada minit ke-44 melalui Che Po Liang yang menyempurnakan sepakan penalti setelah Mahali Jasuli menjatuhkan pemain tuan rumah.
Tuan rumah yang terdesak mencari dua lagi gol, sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Vietnam, Goh Minh Tri apabila pertahanan Malaysia, Fadhli Shas menjatuhkan pemain lawan, namun rembatan yang diambil Po Liang kali ini berjaya diselamatkan Sharbinee pada minit ke-61.
Ingauan buruk berterusan menimpa skuad kebangsaan, setelah pengadil yang dilihat berat sebelah kepada Taiwan buat kali ketiga menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan oleh Xavier Tsan pada minit ke-74 untuk mengatasi dengan keputusan 3-2.

SUMBER:http://www.utusan.com.my/

Ahad, 3 Julai 2011

Chelsea pantau perkembangan Nasri

LONDON - Chelsea kini mengalihkan tumpuan mereka terhadap Samir Nasri perancang Perancis itu memberi bayangan tentang kesediaan meninggalkan Arsenal pada musim panas ini. Nasri mempunyai baki kontrak selama setahun di Emirates dan telah menolak tawaran kontrak baharu selama lima tahun dari Arsenal. Dia akan menyertai skuad The Gunners dalam sesi latihan pra musim minggu depan, namun fikirannya pasti tidak tenteram dengan minat yang ditunjukkan oleh Manchester United, Manchester City dan Chelsea.
Arsenal juga dikatakan tidak mampu menyaingi gaji yang ditawarkan oleh tiga kelab Liga Perdana England itu terhadap pemain bintangnya. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang berkeras mahu mengekalkan perancang tersebut setahun lagi sebelum kehilangannya secara percuma, sudah pasti enggan memiliki pemain yang sudah tawar hati dalam kelabnya. Dia bakal menilai semula kedudukan Nasri dan menentukan sama ada Arsenal perlu menjual pemain yang dibeli dengan harga £15.8 juta (RM76.4 juta) tiga tahun lalu itu atau sebaliknya.
Pengurus Arsenal itu lebih suka menjual Nasri kepada kelab di luar England, namun pemain berusia 24 tahun itu difahamkan mahu menyertai United. Chelsea dan City yang bersaing dengan Barcelona dalam perebutan ke atas pemain sayap Udinese, Alexis Sanchez, turut melihat Nasri sebagai alternatif baru. Pemilik The Blues, Roman Abramovich sedang memantau situasi Nasri dan mungkin akan menambah derita Arsenal yang sudah mula kehilangan beberapa pemain sensasi. Pertahanan kiri, Gael Clichy dijangka melengkapkan perpindahan £7 juta (RM34 juta) ke Manchester City esok manakala Galatasaray pula sedang memancing Andrey Arshavin dengan harga sekitar £13.5 juta (RM65.3 juta). Kapten The Gunners, Fabregas juga dikhabarkan bakal kembali menyertai kelab lamanya, Barcelona tidak lama lagi

Misi menang

pix_gal0
Rajagobal temui gandingan terbaik untuk benam Taiwan sekali lagi

BAYANGAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi perlawanan kedua kelaya­kan Piala Dunia zon Asia menentang Taiwan, semakin jelas selepas sesi latihan terakhir di Stadium Taipei, semalam.
Skuad kebangsaan yang berkunjung ke Taiwan de­ngan bekalan 2-1, memerlukan sekurang-kurangnya seri di sini tetapi Rajagobal tampak tidak mahu mengambil risiko dan tetap mahu melebarkan jurang defisit.
Penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha yang tidak diturunkan di Bukit Jalil Rabu lalu, kelihatan sudah mula mencapai tahap kecergasan dan Rajagobal dilihat menggandingkan Norshahrul dengan Abdul Hadi Yahaya dalam latihan semalam, selepas gandingannya di Piala AFF Suzuki, Safee Sali sekadar memerhati dari luar padang akibat kecederaan.

Kemudian, Rajagobal mencuba pula Ahmad Fakri Saarani bersama Norshahrul manakala di benteng pertahanan, kelibat Mahali Jasuli turut berada dalam kesebelasan Rajagobal, yang memberi isyarat serangan balas bakal dari sebelah sayap mungkin menjadi senjata untuk mencari kemena­ngan malam ini.

“Bayangan ke pusingan kedua sudah ada, cuma sekarang saya perlu cari gandingan terbaik yang akan diturunkan esok (hari ini),” kata Rajagobal selepas sesi latihan itu.

“Saya sudah cuba beberapa gandingan hari ini (semalam), dan saya lihat kesungguhan pemain untuk menurut arahan. Kita tunggu dan lihat corak permainan mereka nanti. 
“Saya yakin mereka mampu menyempurnakan tugasan yang diberi dan keputusan akan memihak kita.”

Sementara itu, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak beraksi Rabu lalu, turut kembali berlatih walaupun belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.

“Saya sedia beraksi, tetapi terpu­lang kepada jurulatih sama ada menurunkan saya atau tidak,” kata Fahmi. “Siapapun pilihan jurulatih, ia adalah untuk kebaikan pasukan dan saya yakin misi utama untuk menang mampu dilaksanakan.”


SUMBER:http://www.bharian.com.my/

Congak corak agresif


SEKAT...percubaan Abdul Hadi Yahaya (kiri) dihalang pemain Taiwan, Lin Cheng-Yi  pada perlawanan, Rabu lalu.
SEKAT...percubaan Abdul Hadi Yahaya (kiri) dihalang pemain Taiwan, Lin Cheng-Yi pada perlawanan, Rabu lalu.
KEBIJAKSANAAN ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mengatur strategi sekali lagi diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya menamatkan badi 34 tahun gagal mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.
Selepas kejayaan membimbing skuad bawah 23 tahun menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009 dan meleburkan penantian 14 tahun untuk memenangi Piala AFF 2010 buat kali pertama, jurulatih itu sekali lagi memikirkan strategi terbaik untuk memerangkap Taiwan pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini.

Percaturan yang berkesan diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya mempertahankan kelebihan jaringan selain sentiasa bersedia mengasak kubu lawan bagi mencari gol tambahan yang boleh memudahkan lagi tugas untuk menyingkirkan Taiwan yang melaungkan keyakinan tinggi selepas mencuri satu gol ketika tewas 1-2, Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun dilihat tidak boleh memilih untuk mengamalkan corak permainan bertahan sepenuhnya ketika lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 untuk memastikan kemaraan mereka ke pusingan kedua menentang Singapura yang mendapat bye.

Yang pasti beberapa pertukaran pemain akan berlaku terutamanya di barisan pertahanan yang dianggap Rajagobal ‘tidur’ pada separuh masa kedua sehingga membiarkan lawan meraih gol penting ketika perlawanan menuju ke penghujung.

Pemain pertahanan kental, Mahali Jasuli dijangka mengisi posisi pertahanan kanan menggantikan Helmi Remeli yang jelas gugup pada aksi pertama Rabu lalu selain elemen kejutan yang dijangka diteruskan oleh Rajagobal kerana masih mempunyai sejumlah pemain yang mampu beraksi dengan baik dalam kesebelasan utama.


Antaranya tiga tonggak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanthuru, selain pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dan pemain sayap lincah, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Percaturan paling menarik adalah bahagian sayap yang dilihat menjadi kelebihan Harimau Malaya selama ini untuk membuka ruang mencipta jaringan berikutan kehadiran beberapa pemain yang mempunyai larian yang pantas, kemahiran yang menarik serta keyakinan tinggi seperti S Kunanlan, Chanthuru, Mohd Ashaari dan Mohd Amirulhadi Zainal.


Malah Harimau Malaya berkemungkinan turun dengan ‘wajah baru’ dengan beberapa pertukaran drastik untuk mengejutkan ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yang tampak berkeyakinan tinggi mencipta kemenangan.

Kunanlan yang mempunyai larian pantas, bersedia menggalas sebarang tugas diberikan Rajagobal terutamanya dalam mengucar-kacirkan pertahanan lawan seperti yang dilakukan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu lalu.

“Saya juga bersedia sekiranya jurulatih mahu menggunakan saya (larian pantas) untuk melakukan serangan balas seperti di Piala AFF sebelum ini. “Benteng pertahanan Taiwan tidaklah sekukuh yang disangka, mereka boleh dibolosi,” kata pemain berusia 25 tahun itu dengan penuh keyakinan.

Mengenai corak permainan Harimau Malaya yang dilihat sedikit menurun, Kunanlan berkata ia mungkin berpunca daripada ketiadaan pertandingan kompetitif sejak awal tahun ini.

Harimau Malaya memenangi aksi pertama dengan keputusan 2-1 sekali gus dilihat sebagai tugas yang sukar berikutan lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 pada pertemuan timbal balik.

SUMBER:http://www.hmetro.com.my/

Nadal idam juara kali ke-3

LONDON: Rafael Nadal menegaskan dia tidak akan terganggu dengan misi memburu sejarah Grand Slam atau kehilangan tempat pertama dunia di tangan Novak Djokovic apabila menentang pemain Serbia pada final Wimbledon hari ini.
Nadal, selaku juara bertahan yang mengekalkan rekod 20 kemenangan berturut-turut di Kelab Seluruh England kini hanya memikirkan peluangnya untuk menjuarai Wimbledon buat kali ketiga.

Nadal, juara pada 2008 dan 2010 akan membuat penampilan kelimanya dalam final Wimbledon manakala Djokovic, juara Terbuka Australia membuat penampilan sulungnya untuk merebut gelaran itu.
Peluang pastinya memihak kepada pilihan utama itu tetapi pemain Sepanyol itu percaya, kemenangan yang bakal diraihnya tidak bermakna dia akan menenggelamkan rekod Federer yang meraih 16 gelaran Grand Slam.

Djokovic, 24, menegaskan bahawa Wimbledon sentiasa menjadi kejohanan utama yang ingin dimenanginya ketika di Belgrade.


“Saya sentiasa membayangkan diri saya berada dalam perlawanan Ahad terakhir di Wimbledon. Berada di final Wimbledon cukup bermakna buat saya,” katanya. - AFP

LA PLATA, Argentina: Bintang Argentina, Lionel Messi kurang senang dengan permulaan pincang negara itu di Copa America, selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Bolivia di La Plata, semalam.
Skuad Bolivia mungkin pernah mengejutkan pasukan 'albiceleste' dalam kelayakan Piala Dunia, dua musim lalu dengan kemenangan 6-1 di La Paz tetapi perlawanan itu diadakan di tanah tinggi.

Di sini, tiada apa yang boleh dijadikan alasan ketika Edivaldo Rojas hampir memberikan kemenangan pertama Bolivia di bumi Argentina selepas 11 kekalahan sebelum Sergio Aguero (gambar) berjaya menyelamatkan mata dengan sepakan voli saat akhir.

“Pertahanan mereka begitu kukuh, sukar untuk kami mencari ruang,” kata Messi yang biarpun berstatus wira di Barcelona dengan lebih 50 gol semusim, masih gagal mencapai tahap sebenar apabila menyarung jersi kebangsaan.

“Itu bukan sesuatu yang diharapkan dan kami sungguh sedih. Kini kami sedar, kami perlu menang perlawanan berikutnya dalam kumpulan iaitu menentang Colombia dan Costa Rica,” katanya.

Bolivia berazam untuk tidak menjadi pasukan tercorot dalam Kumpulan A dan keputusan seri itu bermakna mereka mempunyai harapan melepasi peringkat kumpulan.


Sementara itu, Messi berkata Argentina perlu menilai kembali kedudukan mereka dan cuba menggunakan kelebihan yang ada untuk meraih kemenangan.

“Kami perlu tenang. Kami tidak bermula dengan baik seperti diharapkan tetapi kami perlu tingkatkan tahap permainan dalam perlawanan berikutnya,” katanya.

SUMBER:http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 30 Jun 2011

Pertembungan Messi, Neymar

BUENOS AIRES - Tuan rumah, Argentina merasakan mereka 'bertanggungjawab' untuk memenangi Copa America menerusi pasukan yang diperkuatkan dengan Lionel Messi.
Argentina tidak dapat menerima hakikat untuk menamatkan saingan di belakang musuh tradisi mereka, Brazil buat kali ketiga berturut-turut.

Seteru lama itu berentap pada final dua kejohanan sebelum ini, dengan kedua-duanya dimenangi Brazil.

Namun kelebihan sebagai tuan rumah pada kejohanan yang bermula hari ini sehingga 24 Julai, Argentina berharap dapat memenangi trofi buat kali pertama selepas 1993.

Ketika Argentina mempunyai Messi pada bahagian serangan, Brazil pula memiliki pemain pintar, Neymar, yang berpotensi sebagai 'Pele baru' setelah membantu Santos memenangi Piala Libertadores pada usia 19 tahun.

"Menjadi tanggungjawab kami memenangi kejohanan ini," kata juruIatih Argentina, Sergio Batista.

Argentina akan memulakan kempen kejohanan bola sepak tertua di dunia itu di Stadium Ciudad de La Plata esok, menentang Bolivia dalam Kumpulan A.

Argentina pernah dibelasah 1-6 oleh Bolivia pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia pada altitud tinggi dua tahun lalu di La Paz, di bawah jurulatih Diego Maradona.

Jentera serangan yang diperkuatkan dengan kehadiran Messi, Carlos Tevez dan Ezequiel Lavezzi manakala Gonzalo Higuain, Sergio Aguero dan Angel Di Maria di bangku simpanan, Argentina sepatutnya tiada masalah untuk membenam Bolivia, dalam saingan kumpulan mudah yang disertai Colombia dan Costa Rica.

Brazil, dengan jurulatihnya Mano Menezes kembali ke dengan 'permainan cantik' selepas era Dunga, akan menentang Venezuela dalam Kumpulan B di venue yang sama pada Ahad, sebelum ke Cordoba untuk menentang Paraguay dan Ecuador.

Menezes menggandingkan Neymar dan rakan sepasukan di Santos yang berusia 21 tahun, Paulo Henrique Ganso, yang dilihat mampu membuka gerakan Robinho dan pemain muda Brazil, Alexandre Pato di bahagian serangan. - Reuters

Abdul Hadi Yahaya menjadi pilihan K. Rajagobal pada posisi penyerang ekoran kecederaan Safee Sali apabila skuad negara menentang Taiwan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia di Taipei, Ahad ini.



KUALA LUMPUR - Skuad negara ke Taipei semalam bukan sahaja tanpa bekalan selesa apabila cuma menang 2-1 ke atas Taiwan di laman sendiri pada Kelayakan Piala Dunia, tetapi dihimpit risiko kehilangan Safee Sali pada aksi timbal balik, Ahad ini.

Kelibat Safee hanya sempat disaksikan pada babak pertama perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, apabila pemain itu dikeluarkan akibat cedera bahagian urat pelipat lutut.

Situasi itu pastinya merumitkan lagi misi skuad negara untuk menembusi kubu lawan di Taipei, kerana Taiwan kini yang memiliki kelebihan apabila meledak satu gol di sini, kelmarin.

Jurulatih Datuk K. Rajagobal sememangnya berdepan masalah tidak banyak pilihan di bahagian penyerang sejak aksi persahabatan dengan Myanmar di Kota Bharu 18 Jun lalu dan terpaksa menggunakan penyerang Terengganu, Abd. Hadi Yahya sambil dibantu oleh Baddrol Bakhtiar.
Ekoran masalah terbaru yang membelenggu skuad negara, Rajagobal berdepan tugas berat untuk membentuk percaturan bahagian serangan pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.

"Apa-apa pun, menang tetap menang (di sini), tetapi saya akan melihat kecederaan yang menimpa Safee. Saya rasa dia mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua kerana masalah urat pelipat lutut," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Ini bermakna skuad kebangsaan kehilangan dua penyerang utama termasuk Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi watak penting ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, kecuali jika pemain itu pulih menjelang pertemuan Ahad ini.
Selain Abdul Hadi dan Baddrol, Rajagobal masih memiliki seorang lagi calon yang mampu mengisi kekosongan bahagian serangan iaitu Ahmad Fakri Saarani, yang dimasukkan sebagai pemain gantian kelmarin.

Namun, Ahmad Fakri gagal membentuk gandingan mantap bersama Abdul Hadi, apabila mereka digandingkan buat pertama kali namun terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan pada babak kedua kelmarin.

Sementara itu, pada bahagian tengah Malaysia mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengalami kecederaan di bahagian lutut, namun tahap kecederaan tersebut masih menjadi tanda tanya.
Namun, tiada masalah besar buat Rajagobal pada posisi lain termasuk penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli yang memberikan persembahan baik, namun kesilapan barisan pertahanan membiarkan Chen Po Liang menjaringkan gol kelmarin, sesuatu yang tidak boleh diterima.

Gandingan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Fadhli Shas agak leka sehingga membolehkan Taiwan memperoleh jaringan yang amat diperlukan mereka sebagai bekalan untuk perlawanan di gelanggang sendiri.
"Jaringan pasukan lawan akibat kelalaian pertahanan kita," kata Rajagobal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...