Ahad, 3 Julai 2011


LA PLATA, Argentina: Bintang Argentina, Lionel Messi kurang senang dengan permulaan pincang negara itu di Copa America, selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Bolivia di La Plata, semalam.
Skuad Bolivia mungkin pernah mengejutkan pasukan 'albiceleste' dalam kelayakan Piala Dunia, dua musim lalu dengan kemenangan 6-1 di La Paz tetapi perlawanan itu diadakan di tanah tinggi.

Di sini, tiada apa yang boleh dijadikan alasan ketika Edivaldo Rojas hampir memberikan kemenangan pertama Bolivia di bumi Argentina selepas 11 kekalahan sebelum Sergio Aguero (gambar) berjaya menyelamatkan mata dengan sepakan voli saat akhir.

“Pertahanan mereka begitu kukuh, sukar untuk kami mencari ruang,” kata Messi yang biarpun berstatus wira di Barcelona dengan lebih 50 gol semusim, masih gagal mencapai tahap sebenar apabila menyarung jersi kebangsaan.

“Itu bukan sesuatu yang diharapkan dan kami sungguh sedih. Kini kami sedar, kami perlu menang perlawanan berikutnya dalam kumpulan iaitu menentang Colombia dan Costa Rica,” katanya.

Bolivia berazam untuk tidak menjadi pasukan tercorot dalam Kumpulan A dan keputusan seri itu bermakna mereka mempunyai harapan melepasi peringkat kumpulan.


Sementara itu, Messi berkata Argentina perlu menilai kembali kedudukan mereka dan cuba menggunakan kelebihan yang ada untuk meraih kemenangan.

“Kami perlu tenang. Kami tidak bermula dengan baik seperti diharapkan tetapi kami perlu tingkatkan tahap permainan dalam perlawanan berikutnya,” katanya.

SUMBER:http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...