Jumaat, 1 Julai 2011

ss

KUALA LUMPUR 30 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menahan mana-mana pihak hanya kerana mereka memakai baju berwarna kuning, sebaliknya akan mengambil tindakan ke atas individu terlibat dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang pada 9 Julai ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, perkara itu perlu dijelaskan setelah terdapat sindiran daripada sesetengah pihak yang mencadangkan agar kerabat diraja dan pelancong yang memakai baju berwarna kuning juga perlu ditahan.

"Perlu saya tegaskan di sini, kami tidak tangkap semua orang yang berbaju kuning. Kami hanya akan ambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan perhimpunan haram Bersih," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Bakri, polis secara jelas sudah menyatakan bahawa tiada permit akan dikeluarkan kepada mana-mana pertubuhan yang merancang menganjurkan perhimpunan pada hari tersebut.

"Walaupun polis sudah memberikan amaran, penganjur tetap berdegil meneruskan perhimpunan yang boleh mencetuskan huru-hara, kemusnahan harta benda, kecederaan dan mungkin membahayakan nyawa," tegas beliau.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada menyertai perhimpunan haram tersebut demi menjaga keselamatan diri sendiri selain keamanan dan ketenteraman awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...