ZAHIRNYA muzik tempatan tidak akan mati. Ramai lagi bakat sedang tumbuh, masih ramai karyawan sedang bekerja keras untuk menghasilkan karya muzik terbaik, begitu juga pejuang-pejuang muzik yang masih dan sedang melantunkan nada dan irama mereka untuk hiburan setiap peminat.
Ironinya pula, tanah industri muzik tempatan yang persis sekangkang kera ini sedang mendepani era yang sukar. Kesan pertukaran bentuk jualan bahan muzik daripada fizikal kepada digital memang memberi impak yang besar kepada corak industri.
Ketara menjunam, satu-satunya pengiktirafan kepada industri muzik yang masih bernafas, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 paling teruk dalam sejarah. Anugerah anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu memansuhkan 10 kategori utama daripada 29 kategori yang pernah dipertandingkan sebelum ini. Ia menjadikan hanya 19 kategori akan diberi penganugerahan pada majlis yang akan berlangsung pada 12 November nanti.
Pengerusi RIM, Adrian Lim beralasan, kemerosotan jualan album dan kurangnya penerbitan album-album tempatan menyebabkan pihaknya memansuhkan sahaja kategori Album Terbaik untuk semua genre muzik.
"Tahun ini tiada kategori anugerah Album Pop Terbaik dan beberapa lagi genre muzik. Bagi mengatasi masalah itu kesemua album yang bertanding hanya merebut kategori Album Terbaik secara keseluruhan.
"Bagaimanapun, kami masih menyediakan kategori Lagu Terbaik untuk semua genre muzik yang dipertandingkan seperti pop, rock, nasyid, hip hop, etnik, lagu Inggeris terbaik dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar pertama AIM 18 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kategori yang dimansuhkan termasuklah Album Pop Etnik Terbaik, Album Nasyid Terbaik, Album Rock Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Hip Hop Terbaik. Kesemua pencalonan itu dimasukkan di bawah satu kategori iaitu Album Tahunan Terbaik.
Kelainannya, AIM kali ini tidak membenarkan karya pemuzik luar serta memperkenalkan satu anugerah khas iaitu Artis Mobile Terbaik.
Sejak hari pertama perkara itu diumumkan dalam satu sidang media Selasa lalu, timbul pelbagai reaksi oleh penggiat industri muzik.
Ada yang berpendapat semangat juang pihak RIM untuk membela industri muzik telah padam dan keputusan memansuhkan kategori album itu satu percaturan yang mampu membunuh kreativiti anak seni.
Penyanyi Misha Omar yang baru melancarkan album terbaru, Dia Misha melahirkan kekecewaan kerana AIM tidak lagi menjadi majlis yang ditunggu-tunggu sebagai malam paling berprestij anak muzik.
"Saya terkejut, rasa kelakar dan pelik pun ada. Memanglah ada pro dan kontra, kami sebagai penyanyi sedar jualan album tidak baik, tetapi keputusan pihak AIM memansuhkan kategori album terbaik mengikut genre dalam AIM akan meruntuhkan lagi semangat penyanyi untuk merakamkan album.
"Penyanyi yang buat album guna duit sendiri akan lebih terasa bahangnya, jadi lebih baik tampil dengan single.
"Untuk jangka masa panjang, peminat takkan ingat lagi, siapa artis yang ada album, mana yang tiada," komen Misha yang melihat AIM seharusnya menyuntik semangat dan tenaga baru kepada industri, malangnya tidak.
Sedang dalam rangka promosi album terbaru, KitaSatu, penyanyi kumpulan Spider, Tam pula keliru dengan corak penjurian yang bakal dijalankan AIM.
Jika tiada penjurian dilakukan mengikut album bagaimana pula anugerah untuk Album Terbaik boleh wujud.
"Saya tak faham dengan AIM, buat sahaja majlis anugerah sesuka hati yang boleh mereka lakukan. Alang-alang sudah menjurus kepada penghasilan single, buat sahaja anugerah single terbaik tak perlu lagi album. Masalah penjualan lagu secara digital serta single berlaku di seluruh dunia tetapi Anugerah Grammy masih mengekalkan tradisi anugerah bagi kategori album. Nampaknya, AIM18 sudah tersasar daripada sejarah penganjuran terdahulu," keluh Tam Spider berbaur sinis.
Itu baru pandangan daripada Misha dan Tam, penulis percaturan AIM18 yang menempah Stadium Putra, Bukit Jalil sebagai lokasi malam kemuncak nanti, sedang mencetuskan banyak gelombang.
Kalah sebelum bertanding itu pandangan kasar yang boleh dilontarkan kepada AIM18 memandangkan penyerahan borang pencalonan baru sahaja bermula pada 1 Julai lalu dan akan berakhir 29 Julai.
SUMBER:http://www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan