Pengendali perkhidmatan dua aliran transit aliran ringan (LRT) Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) kerugian kira-kira RM10 juta akibat kecurian kabel pada sistem semboyannya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengurus Besar Bahagian Operasi Rel RaipdKL, Bukhari Mohamed berkata setakat ini terdapat 20 kes dilaporkan membabitkan kehilangan kabel pada sistem itu di semua aliran LRT terutamanya di kawasan Ampang dan Sri Petaling.
"Tahun lepas RapidKL mengalami kerugian RM15 juta akibat kehilangan kabel sistem itu yang menjejaskan sistem perkhidmatan LRT terutamanya di aliran Ampang," katanya kepada media di sini selepas menyertai program Latihan Kecemasan 2011 di LRT Sungai Besi, yang berakhir kira-kira pada pukul 1 pagi hari ini.
"Pencerobohan ini menyukarkan sistem operasi perjalanan LRT terutamanya dalam aspek perjalanan, kelajuan dan jarak masa," katanya.
Mengenai program latihan kecemasan itu, Bukhari berkata program itu turut melibatkan kerjasama antaranya pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi memberi pendedahan kepada kakitangan RapidKL ketika berhadapan dengan situasi kebakaran di stesen LRT.
"Ini adalah latihan kebakaran pertama bagi tahun ini yang melibatkan 300 orang kakitangan RapidKL termasuk anggota polis dan bomba. Kita juga merancang untuk membuat latihan ini di LRT Kelana Jaya pada bulan September tahun ini," katanya.
RapidKL juga merupakan pengendali perkhidmatan bas RapidKL dan bas perantara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan