Selasa, 5 Julai 2011

Semua penganjur patut batalkan perhimpunan 9 Jula


 

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sesungguhnya tidak ingin melihat rakyat terlibat dan bermusuhan sesama sendiri kerana himpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bakal diadakan pada Sabtu, 9 Julai ini.

Sebab itu baginda mengeluarkan seruan supaya keamanan dan perpaduan dalam negara ini perlu dikekalkan.
Titah Tuanku Mizan Zainal Abidin bahawa demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Intipati titah baginda boleh dibaca di dalam surat khabar, laporan berita radio dan televisyen, laman portal berita dan blog.

Jadi mesej Yang di-Pertuan Agong ini bukan sahaja patut difahami tetapi juga dihormati dan dipatuhi.
Kita bersyukur kepada Tuhan, peringatan daripada titah baginda itu berjaya melembutkan hati Pergerakan Pemuda UMNO untuk membatalkan Himpunan Patriot (Patriot) pada 9 Julai ini.

Hakikatnya Yang di-Pertuan Agong sudah mengeluarkan nasihat, jadi Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan tidak ada sebab hendak menghadap baginda lagi.
Tindakan bijak yang patut diambil Ambiga ialah mengumumkan keputusan untuk membatalkan himpunan haram Bersih.
Ambiga harus juga memikirkan punca daripada tindakannya mahu meneruskan himpunan haram itu maka berkemungkinan peserta Bersih akan bertempung dengan anggota perguruan silat di negara ini yang menyatakan akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan bersyarat.

Anggota silat bertekad tidak akan berganjak dan akan menjadi benteng untuk mempertahankan Perlembagaan Negara dan Yang di-Pertuan Agong.

Sebab itu kita amat berharap semua pihak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Kumpulan yang sudah menyatakan azam untuk meneruskan perjuangan masing-masing di jalan raya Kuala Lumpur diseru supaya bertenang dan patuhi titah perintah baginda.
Memang ada pihak tertentu yang tidak mengendah langsung nasihat itu. Seolah-olah titah Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak membawa apa-apa makna. Kepada mereka nasihat itu ibarat 'menyimbah air di daun keladi'.
Sabtu lalu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah menggesa rakyat agar memelihara keamanan dan menolak tindakan yang boleh mendatangkan keburukan kepada negara.
Sememangnya pihak istana mempunyai sebab untuk berasa bimbang dan kecewa dengan sikap penganjur Bersih yang masih berdegil dan belum mahu membatalkan himpunan haramnya.
Sebelum ini, peringatan dan amaran daripada Kementerian Dalam Negeri, pihak polis telah dikeluarkan.
Jika pihak penganjur himpunan haram di jalanan pada 9 Julai ini tidak membatalkan program mereka, maka kerajaan diharap terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak menghormati undang-undang.
Rakyat jangan lupa pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia ingin menjadi negara maju mengikut acuannya sendiri. Dalam konteks ini juga, janganlah kita terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar dan sikap ghairah hendak menyuburkan demokrasi hingga membawa kemusnahan kepada negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...