Jumaat, 1 Julai 2011

5 warga Amerika Latin tumpas

RAMPAS...Wan Abdul Bari menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Wan Abdul Bari menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima warga Amerika Latin yang masuk ke negara ini sebagai pelancong sejak tahun lalu dikesan aktif menjalankan kegiatan menyeluk saku, samun serta pecah kereta di Lembah Klang sebelum ditahan dalam serbuan khas di sebuah hotel, di Bandar Puteri Puchong, Isnin lalu.
Difahamkan, tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga Peru ditahan kira-kira jam 2.15 pagi manakala dua lagi suspek iaitu seorang lelaki warga Peru dan seorang lelaki warga Argentina ditahan di hotel sama sejurus selepas itu.

Hasil tangkapan itu, polis menemui pelbagai barangan termasuk dua kereta Proton, dua komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, kamera, kaca mata, jam tangan dan pelbagai barangan berharga yang dipercayai hasil kegiatan mereka.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan, berkata jumlah barangan yang dicuri kumpulan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000, namun setakat ini polis merampas barangan curi yang berjumlah RM15,000.

“Kumpulan terbabit dikesan bergiat aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei tahun lalu.

“Dengan tertangkapnya mereka, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun,” katanya.
Menurutnya, penahanan semula ahli kumpulan itu hasil laporan seorang mangsa yang kerugian beberapa barangan berharga selepas dicuri kumpulan terbabit ketika menginap di sebuah hotel terkemuka, pada 24 Jun lalu.

Mangsa, lelaki berusia 58 tahun yang juga perunding mendakwa beg komputer riba miliknya ditukarkan dengan sebuah beg kosong dan mengesyaki dilarikan warga asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...