BUSUR panah Lisa Surihani sedang membidik banyak jiwa. Lihat di laman sosial Facebook, sebanyak 1,571,413 tangan sudah menekan butang 'Like', tanda bilangan hati yang sudah tertawan melihat perwatakan dan kewibawaan aktres manis ini.
Melihatkan jelajah wanita berusia 25 tahun ini, jalannya tampak mudah. Dia lekas menambat hati ramai dengan dirinya yang lutsinar. Bermula dengan mengendalikan program Down Memory Lane, peribadi cilik waktu itu sudah mula dikesan ramai. Hilang sementara menelaah ilmu yang perlu diisi di dada, Lisa muncul dengan bekalan dan kecintaan yang berterusan dalam lapangan pilihannya, seni. Kini, nama Lisa pantas menjadi sebutan terawal, sebaris dalam deretan aktres ternama tempatan. Impak kerjaya yang diatur cantik dan luahan bakat yang dipersembahkan kemas.
Namun sampai waktu, kini garis-garis putih perjalanan itu sudah dihambat ceritera sisi hitam, pertelagahan watak-wataknya di layar lebar. Entah daripada mana angin datang menyusur, pohon bergoyang menaburkan daun-daun cerita kuning. Nama Lisa jadi sebutan beberapa insiden kurang enak didengar. Antara yang disebut, Lisa kini sudah berubah corak, sudah diva. Kurang ramah seperti dahulu dan mula tunjuk belang. Sudah tiba masa, Lisa berdepan dengan keadaan ini. Dia tersenyum apabila ditanya.
"Saya tahu ada cerita-cerita yang wujud kebelakangan ini. Bagi saya mudah, kalau tidak betul, perlu apa untuk melawan semua cerita ini. Pada masa yang sama, saya berterima kasih kepada pihak media yang bertanya dan memperjelaskan suasana," luahnya petah dan tidak mahu soal dan jawab terjadi seperti permainan ping pong.
Dicuit sisi hitam
"Jujurnya saya sendiri tidak faham dan benar-benar tidak tahu bagaimana ia bermula. Saya buat kerja saya sebagai pelakon. Kalau berurusan dengan produksi, saya jalani seperti biasa. Pertanyaan utamanya, 'adakah cerita-cerita ini betul?'" terang Lisa yang turut bersyukur mempunyai peminat yang sangat menyokong kerjanya selama ini.
Cerita Lisa ditemani ibu, dia masih Lisa yang dahulu. Menyarung pakaian seperti dahulu, berjenama atau tidak, murah atau mahal itu bukan isu. Masih sama. Bicaranya menyapa wartawan masih ramah. Tidak pernah dia mengangkat suara seperti khabar angin yang bergerak.
"Tidak berani saya mengangkat suara kepada wartawan seperti yang dikhabarkan. Lagi mesra adalah," jujurnya yang bakal sibuk dengan penggambaran filem arahan Syafiq Yusof.
Dalam bicara sehari-hari, ada yang menganggap Lisa itu sudah berada di zon selesa. Dia disenangi ramai, cerita kurang enak jarang hadir. Malah dalam lapangan lakonan, namanya pantas menjadi sebutan golongan produser juga buah hati pengarang jantung peminat.
Penulis bertanyakan sejauh mana benarnya zon selesa itu menghampiri dirinya. Dia menjawab intelektual, salah satu kriteria yang tampak jelas pada dirinya.
"Kurang selesa saya dengan terma zon selesa. Hakikatnya, ya memang kuantiti filem saya banyak untuk tempoh empat tahun. Tetapi secara peribadi, saya masih perlu banyak menggali pengalaman dan ilmu. Masih tidak 'terror' (cekap), cetek dan kekurangan ilmu," akuinya merendah diri dan berlaku realistik.
"Masih belum cukup kepelbagaian watak dan benar ada beberapa karakter saya yang masih diulang," jujurnya yang teruja membawa watak diva dalam filem Ombak Rindu.
Bukan zon selesa
Lalu penulis menanyakan tentang watak 'girl next door' yang mungkin sinonim dengan dirinya. Karakter gadis baik-baik, manis dan naif yang banyak dalam portfolio kerjayanya. Mungkin satu lagi faktor yang menyebabkan dia diminati ramai. Dia senyum lagi, manis persis karakter-karakter yang dipertontonkan dalam drama mahupun wayang.
"Saya selesa membawakan watak 'girl next door' ini. Malah suka dengan watak-watak sebegitu dan saya tidak nafikan banyak mendapat tawaran yang sebegitu. Namun melihat satu sisi, memegang watak ini berulang kali bukan bermaksud menjadi stereotaip. Dengan mengambil watak sebegini, banyak faktor yang diambil kira.
"Baik daripada jalan cerita hinggalah impak yang dapat diberikan. Cuma jangan tersekat di watak itu dan saya tidak meletakkan noktah jika diberikan watak yang masih sama," ujarnya yang mengagumi Rachel McAdams.
Jujur dan menganggap tidak klise ditanyakan hal watak idaman kerana impian itu bertukar seiring pengalaman, dia mahukan karakter individu kurang upaya. Itu cabaran di kaca matanya.
"Saya mahukan satu watak yang menuntut penyelidikan dan persediaan yang lama. Contohnya, kalau bukan watak seorang wanita pekak, saya mahu watak orang yang perlu menjaga dan mendampingi golongan kurang upaya sebegitu. Saya tahu cabarannya besar apabila bermain dengan emosi dan perlu banyak bahasa tubuh dan tangan," luahnya yang turut teringin beraksi lebih lasak dalam sesebuah produksi.
Dalam menyimpul impian dan idaman, Lisa bersyukur dapat bekerjasama dengan dua nama besar, hero pujaan ramai dalam filem terbarunya di pawagam. Bront Palarae dan Shaheizy Sam, dua nama yang mengapit Lisa berwatak Shila dalam filem Sekali Lagi.
"Saya sudah berkawan dengan Sam sejak usia 14 tahun. Namun ketika digandingkan dalam filem ini, rupanya saya ada gementar. Saya tidak mahu persahabatan kami menjadi dinding sewaktu berlakon. Kami banyak berbincang, menjadi terbuka dan telus dalam menyampaikan idea," ujar Lisa yang kagum dengan pencapaian regu barunya yang dikenali daripada zaman cilik.
Begitu juga dengan Bront Palare, kekaguman Lisa diluahkan dalam temuramah ini. Katanya, sewaktu dia kurang faham dengan karakternya bernama Shila yang sedikit misteri dan penuh pengalaman pahit, Bront menjadi perungkai dan menjauhkan Lisa dengan diri sebenarnya untuk menghampiri Shila. Ujar Lisa, Sekali Lagi memberi dirinya terlibat dalam sebuah kumpulan kerja yang sangat komited dan menyeronokkan.
Banyak hati telah dipanah Lisa, satu busur yang terpilih tepat mengenai jiwa yang pernah kosong dan minta diisi.
Khalayak maklum tentang hati yang satu ini. Nama Yusry dan Lisa sedang meniti, menjadi satu item yang sedang diperhati umum. Mereka sedar, lebih daripada faham bahawa situasi ini bakal terjadi.
Sudah bukan tabu
Melihat satu sisi, Lisa suri hati Yusry ini sudah boleh berbicara soal perhubungan. Sudah tidak terlihat tabu untuk menyentuh cerita itu pada dirinya yang dahulu bersih daripada cerita panas cinta.
Malah empunya diri mengaku, jari-jemarinya banyak dihabiskan di telefon tangan. Itu sudah jelas, satu sindrom pasangan yang sedang mengulit rasa. Waktu ditanya dirinya yang sibuk dengan jadual 'shooting', 'meeting', tambah Lisa, ada satu lagi 'ing' yang perlu dilakukan iaitu 'dating'. Walau dalam nada seloroh, penulis tahu jiwanya sedang ada putik yang sedang berkembang.
Namun di sebalik cerita yang pantas tersebar, Lisa seakan meminta ruang untuk hubungan ini berjalan sendiri. Tidak manis dicanang-canang mungkin lantaran semuanya baru bermula.
"Apa yang penting buat saya adalah restu. Lagipun hubungan ini berjalan tanpa dirancang. Saya juga tiada niat mencari. Keikhlasan sangat penting," ujarnya senyum dengan telefon di genggaman.
Banyak bersembang soal filem, ideologi dan psikologi bersama pasangan, dia mengaku hubungan ini berjalan dengan sentuhan tarikan. Namun seperti pasangan normal di luar sana, pinta Lisa biarlah mereka menjalani proses mengenali dengan cara sendiri.
SUMBER:http://www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan