Selasa, 5 Julai 2011

Ancaman komunis dan 13 Mei





Teo Kok Seong dan Salleh Mat Rasid dalam rancangan bual bicara Assalamualaikum yang dihos oleh Shahrul Faizie Zaini dan Irma Hasmie Ibrahim di TV AlHijrah, baru-baru ini. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN


PADA 9 Julai ini tidak lagi dilihat sebagai misi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk tampil bersuara mengenai apa juga bentuk protes mereka sama ada terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu pun kerajaan.

Apa yang dibimbangi, di peringkat masyarakat awam, Julai tidak lagi ditafsir sebagai hari menyuarakan protes atau bantahan, kerana perkembangan semasa sudah jelas menunjukkan 9 Julai bakal mengheret negara jauh ke dalam kancah krisis keselamatan malah pertembungan berdarah isu perkauman mahu pun keagamaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid menyifatkan, penyusupan unsur dan ideologi jelas wujud dan bakal menular melalui perhimpunan ini.
Buktinya, di Pulau Pinang dan Selangor, beberapa siri operasi polis jelas menunjukkan barangan seperti kemeja T dan bahan cetak yang diedarkan terang-terangan menyebarkan dakyah dan propaganda komunis.
Penyusupan melalui agenda menumpang demonstrasi awam, melalui kempen Bersih ini, satu ruang baru yang digunakan pihak komunis untuk bertapak.

“Kita mendapat maklumat bahawa di Pulau Pinang ada unsur-unsur komunis terlibat. Perhimpunan Bersih nyata sudah tidak Bersih dan dikhuatiri ia akan membawa negara kita kembali ke era darurat,” kata Salleh.
Salleh jelas merujuk kepada beberapa siri rampasan barangan termasuk kemeja T yang tertera gambar-gambar bekas pemimpin komunis Malaya serta wajah-wajah ikon komunis dunia yang dicetak dan cuba diedarkan oleh pihak tertentu.

Bagi polis, medan demonstrasi Bersih kini bukan sahaja menjadi medan yang diharamkan kerana tidak mendapat permit perhimpunan, tetapi bahaya perhimpunan itu kini ialah potensi ia akan digunakan oleh anasir komunis bagi mencari ruang untuk bergerak semula di tengah-tengah masyarakat negara ini.
Salleh menjelaskan isu mengenai ancaman komunis ini ketika diwawancara secara eksklusif dalam program bual bicara Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah baru-baru ini.

Program ini dihos oleh Irma Hasmie Ibrahim dan Mohd Shahrul Faizie Zaini. Tamu lain yang dijemput bersama memperkatakan mengenai Bahaya Subversif di Sebalik Bersih ini ialah pakar sosiolinguistik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Teo Kok Seong.

Selain bimbang dengan ancaman komunis, polis turut mengakui ada kecenderungan perhimpunan ini akan diheret menjadi tempat bertembungnya isu perkauman dan keagamaan.
Ini berikutan begitu banyak sentimen liar yang sengaja ditiup dengan mengheret perhimpunan ini sebagai detik kebangkitan bangsa dan agama dalam berjuang mahu pun berjihad kerana banyak perkara berkaitan Bersih kini ditafsir sebagai berbau perkauman dan mencabar nilai keagamaan.

Menurut Mohd Syahrul, “sudah banyak pihak meniupkan mesej anti atau pro Bersih dengan elemen rasis dan agama.”
Jelas Salleh, “akan lebih teruk dari 13 Mei, sekiranya tiada tindakan diambil bagi menghalang agenda golongan ini. Perhimpunan ini akan diambil alih oleh golongan perkauman dan ekstremis untuk menimbulkan kekacauan dan mengeruhkan keadaan.”
Kenyataan Salleh disokong Kok Seong dengan menyifatkan: “Objektif perhimpunan ini sudah jauh tersasar, sudah lebih kepada permainan politik pihak tertentu. Kita sebagai rakyat harus melihat akibat buruk yang bakal mengganggu kestabilan negara.

Kok Seong turut melahirkan rasa bimbang, kerana perhimpunan ini apabila dicemari oleh sentimen komunis dan perkauman, maka akan mudah menjurus kepada pertembungan puak kanan dan kiri. Lebih memburukkan keadaan, sekiranya pertembungan ini sengaja dirancang.
“Anak muda dan mahasiswa harus sedar, ini bukan pesta untuk keluar berhimpun dan cabar mencabar. Generasi hari ini mungkin tidak mengalami peritnya era 13 Mei, justeru mereka tidak hargai apa yang kita ada sekarang,” kata Kok Seong.


Beliau mengingatkan semua pihak untuk segera mempelajari nilai sejarah, terutama kejayaan dan keamanan negara yang terpelihara kerana kuatnya nilai keamanan yang dipegang sejak era menuntut kemerdekaan.
“Cara penyelesaiannya ialah meja rundingan. Kita harus utamakan nilai kenegaraan dan imej negara,” jelasnya lagi.

Mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), polis akan bertindak menggunakan akta ini sekiranya perlu. Apatah lagi terhadap dalang yang menyeret isu perkauman dan keagamaan dengan niat sengaja untuk memporak-porandakan negara.


“Polis akan menggunakan ISA sekiranya perlu, kita akan bertindak menggunakan akta yang ada serta mengutamakan undang-undang untuk menangani isu ini,” tegas Salleh.
Ketegasan ini disuarakan sebagai reaksi terhadap usaha-usaha yang kini luas dijalankan di saluran media baru yang sengaja menyiarkan foto-foto 13 Mei sebagai umpan untuk menyemarakkan semangat perkauman, kebencian dan dendam di kalangan orang Melayu.

Manakala mesej-mesej yang menyeru penganut Kristian menjadikan perhimpunan ini sebagai perjuangan Salib pula meluas disebarkan melalui laman sembang sosial.
“Kita pasti akan bertindak, kerana bertindak tegas adalah sebahagian daripada matlamat polis dalam mengawal keselamatan negara,” kata Salleh lagi.

Pada Rabu 9.30 malam, TV AlHijrah melalui program Bicara akan membawa beberapa lagi panel untuk mengupas pula tajuk: Bahaya Pasca 9 Julai terhadap Keselamatan Negara.
PENULIS ialah Pengurus Besar Penerbitan,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...