Bunyi meriam berdentum di sana sini. Sesekali kedengaran tembakan daripada muncung Kalasnikov penembak curi puak Serb dan tentera Muslim Bosnia yang merupakan situasi biasa di Sarajevo ketika itu.
Konjic yang sebelum itu sibuk, ibarat bandar hantu. Tiada kenderaan awam lalu lalang, stesen-stesen minyak ditutup, dan kedai-kedai pula sepi.
Kanak-kanak yang kehilangan ibu dan ayah kesan Perang Balkan dari 1992 hingga 1995 berkeliaran. Mereka kelaparan, berwajah derita dan meraih belas ihsan pasukan pengaman PBB.
"Di tepi kem PBB, kelihatan dua anak gadis Bosnia sanggup bertelanjang dengan syarat askar PBB membayar sejumlah wang, mereka mahukan wang untuk makanan.
"Inilah kesan perang, adakah ini yang kita mahukan di Malaysia, jiran-jiran yang dulunya bertegur-sapa hidup bermasyarakat dalam pelbagai agama dan kaum kini bertelagah sesama sendiri kerana perbezaan ideologi politik
.
"Perhimpunan haram merata-rata menentang kerajaan demokrasi 'membunuh' negara yang mengecap keharmonian sejak sekian lama," kata Mohd. Jurit yang kini berusia 40 tahun kepada Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.
Mohd. Jurit yang merupakan antara tenaga yang mengasaskan Gabungan NGO Malaysia (GNM) bersara awal dari tentera. Di Konjic dulu, beliau menyertai pasukan MALBATT III daripada 12 RAMD yang menjalankan misi keamanan di Bosnia dari Mac hingga November 1995.
Kini, bersama sekumpulan rakannya, beliau selaku setiausaha membawa GNM yang ditubuhkan pada 2008 untuk menggerak dan mempromosikan keamanan di Malaysia pula. GNM yang beribu pejabat di Presint Diplomatik, Putrajaya kini mempunyai keanggotaan 300 NGO daripada pelbagai disiplin di seluruh negara.
"Ada dua tiga kes yang tidak dapat saya lupakan di Jablanisa apabila sekumpulan remaja muslim tersesat memasuki perkampungan Serb, mereka bukan sahaja dibelasah tetapi dibunuh. Di sebuah taman perumahan di Kosovo, kawasan kejiranan yang dulunya hidup aman damai, kemudian berbunuh-bunuhan antara satu sama lain, mayat-mayat bergelimpangan dan ditinggalkan begitu sahaja tanpa dikebumikan.
"Inilah bahananya jika sudah ada dalam diri sifat dendam mendendami. Inilah kesan penghapusan etnik setelah keharmonian tidak ada lagi," katanya.
Menurut Mohd. Jurit, ketika keamanan di sebuah negara demokrasi sudah tidak boleh diselamatkan lagi, bukan sahaja penduduk tempatan menjadi mangsa tetapi juga pasukan tentera yang dihantar untuk menyelamatkan keadaan di sana.
Kerana itu, tegas Mohd. Jurit, perhimpunan haram, waima dianjurkan oleh siapa pun tidak wajar dibenarkan sama sekali di bumi bertuah seperti Malaysia.
"Kalau mengikut 'Bersih' ini, dia (penganjurnya, S.Ambiga) cuba memaparkan kepada masyarakat tempatan dan dunia bahawa Malaysia kononnya mengamalkan pilihan raya yang tidak adil.
"Tetapi persoalannya banyak keputusan pilihan raya kecil memihak kepada mereka iaitu seimbang lapan kemenangan dimiliki mereka manakala lapan kerusi lagi oleh BN. Malah, dalam pilihan raya umum 2008, pembangkang menang lima negeri, tidak adilkah itu," kata beliau yang berharap komennya itu dilihat umum seimbang mewakili NGO yang non-partisan.
Sebagai seorang yang berpengalaman dalam meneliti akibat sesuatu perhimpunan haram, Mohd. Jurit memberitahu, di mana-mana negara di dunia pun jika ada penganjuran satu-satu perhimpunan haram, akan ada kumpulan tertentu yang 'dilatih' untuk memprovokasi peserta perhimpunan terbabit.
"Apabila perhimpunan itu menjadi berskala besar, kekecohan akan berlaku, ada tembakan dan kejadian membakar sekali gus wujud gerakan agresif di luar batasan. Dalam keadaan ini, kematian mungkin berlaku dan kemudian akan melibatkan campur tangan asing.
"Kita lihatlah apa yang berlaku di dataran Tahrir, Mesir dan Tripoli, Libya. Jika suasana tidak aman sudah wujud, dunia akan memandang serong kepada Malaysia. Kedutaan-kedutaan asing ditutup, banyak lapangan terbang penuh sesak dengan orang berpusu-pusu hendak keluar dari negara ini, nilai mata wang negara menjunam dan akhirnya ekonomi merudum sekali gus menjahanamkan negara," katanya.
Lebih dikesali oleh beliau ialah apabila perhimpunan haram 'Bersih' ini diresapi fahaman komunis.
"Sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif harus dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia. Tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen ini adalah satu bencana kepada negara ini. Apa lagi melalui nama-nama komunis seperti Chin Peng yang sengaja pula dipampangkan di baju T, sekali gus cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia," katanya.
Menurut Mohd. Jurit, beribu-ribu keluarga bekas Polis Khas atau Special Constable (SC), polis biasa dan Askar Melayu juga pastinya amat arif akan kezaliman PKM. Beratus-ratus ayah, pakcik dan anggota keluarga mereka dibunuh anggota PKM sewaktu mempertahankan tanah air di zaman darurat.
Beliau turut menyorot perasaan waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, hilang tangan dan hilang nyawa akibat bom dan jerangkap samar PKM di Lembah Gubir. Hakikatnya Chin Peng bukanlah suatu nilai nostalgia dan positif. Juga, anak kepada wira-wira Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam Operasi (Ops) Kota di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah pada 26 April 1976, pastinya akan terkejut dengan tindak tanduk para penyokong Bersih itu.
Dalam nahas itu, helikopter Nuri yang membawa 11 pegawai dan anggota pasukan keselamatan terhempas akibat ditembak komunis.
Kata Mohd. Jurit lagi: "Ada rakan-rakan seperjuangan kami bekas pasukan keselamatan yang putus kaki, buta, mati di medan perang kerana menentang komunis.
"Si Ambiga ini nak ambil peduli apa, setelah negara aman, mereka cuba pula menghidupkan semula komunis di Malaysia."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan