Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menimbang memberi RM100 kepada bayi yang dilahirkan mulai tahun ini kepada salah seorang ibubapa yang merupakan pengundi di negeri itu.
Program “Anak Emas Pulau Pinang” akan mensyaratkan pengesahan pendapatan isirumah keluarga tidak boleh melebihi RM4,000 sebulan.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pada 2010, kerajaan negeri melancarkan 'Program Penghargaan Warga Emas RM100' setiap tahun dan RM1,000 untuk urusan jenazah kepada waris warga emas bagi mengenang sumbangan warga melebihi 60 tahun kepada pembangunan negeri.
Katanya, kejayaan program tersebut, menyebabkan beberapa pihak mencadangkan bahawa kerajaan negeri menimbang pula golongan yang baru lahir.
"Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat, kerajaan negeri Pakatan anggap pemberian RM100 kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang adalah satu cadangan baik.
"Sungguhpun pemberian RM100 oleh kerajaan negeri Pakatan adalah kecil, ia adalah untuk meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak RM20 juta dibelanjakan setiap tahun untuk program penghargaan warga emas dan waris mereka.
Ketua menteri berkata, program penghargaan itu cuba disabotajkan oleh parti pembangkang BN, tetapi usaha mereka gagal apabila kadar pendaftaran kini melebihi 87% dengan hampir 115,000 warga emas Pulau Pinang telah mendaftarkan diri.
"Sumber kewangan program baru “Anak Emas Pulau Pinang” adalah sama dengan program penghargaaan warga emas, iaitu daripada penjimatan hasil kejayaan kerajaan Pakatan melaksanakan kempen anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International.
"Program baru “Anak Emas Pulau Pinang” akan dibentangkan dalam mesyuarat Eco negeri minggu ini dan dijangkakan memerlukan perbelanjaan antara RM5-RM10 juta setiap tahun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan