KUALA LUMPUR – Filem KL Gangster terus mencipta rekod baru dalam industri perfileman tempatan apabila berjaya menarik seramai 1.2 juta penonton sehingga tayangannya semalam selepas ia ditayangkan di 81 pawagam seluruh negara sejak tiga minggu lalu.
Filem terbitan Skop Production itu sekali gus menambah kutipan tiketnya berjumlah RM11.6 juta sehingga tayangannya pada Ahad lalu menjadikan filem arahan Syamsul Yusof itu muncul sebagai filem Melayu yang paling laris setakat ini.
Penerbit KL Gangster, Datuk Yusof Haslam berkata, dia tidak menjangka kutipan filem arahan anaknya itu melebihi RM10 juta kerana terpaksa bersaing dengan banyak filem Barat seperti Transformers 4 yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
“Saya juga bersyukur kerana KL Gangster yang diarahkan oleh anak saya itu mendapat sambutan luar biasa berdasarkan bilangan penonton yang juga semakin bertambah. KL Gangster bukan setakat memecah rekod kutipan tiket tetapi juga bilangan penonton yang menontonnya.
“Ini kerana, biasanya purata penonton filem-filem Melayu sekitar 500,000 orang sahaja. Selain itu, pada mulanya saya mensasarkan kutipan KL Gangster tidak lebih RM10 juta. Tetapi siapa sangka angka itu terus berjalan dan saya jangkakan ia mampu mencecah RM12 juta.
“Itu pun jika ia terus ditayangkan sehingga Rabu ini. Apa pun sekali lagi saya bersyukur kerana filem sudah melepasi sasaran saya. Saya bangga apabila penonton yang menonton filem genre aksi ini mencecah 1.2 juta orang. Ini rekod baru bagi filem Melayu,” katanya.
Kata penerbit kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini, senario itu membuktikan sambutan para peminat filem Melayu yang semakin meningkat di mana secara tidak langsung ia memberi harapan cerah perkembangan industri filem tempatan pada masa depan.
Tambah Yusof, dia juga optimis KL Gangster mampu mencatat kutipan sehingga RM15 juta jika ia ditayangakan di seluruh negara termasuklah di negeri-negeri yang tiada pawagam seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Saya harap selepas ini akan ada lebih banyak pawagam bagi menampung jumlah tayangan filem-filem Melayu yang semakin banyak diterbitkan iaitu tidak kurang 40 filem setahun. Dengan adanya kemudahan itu tidak mustahil kutipan tiket akan bertambah di masa depan,” ujarnya.
KL Gangster yang dilakonkan oleh Aaron Aziz, Zizan Raja Lawak, Syamsul Yusof dan Adiputra itu menewaskan filem Kongsi terbitan MIG Production yang mengutip kutipan tiket RM8.4 juta sewaktu tayangannya baru-baru ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan